Enam wanita warga asing dicekup selepas disyaki terlibat dengan aktiviti pelacuran dalam serbuan di sebuah pusat refleksologi di Jalan Coastal, Kota Kinabalu, awal pagi Sabtu.

Dalam serbuan bermula jam 12.10 malam itu, seorang lelaki tempatan yang difahamkan pelanggan premis berkenaan, turut ditahan.

Serbuan terbabit dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Pegawai Turus D7 IPK Sabah, Deputi Superintendan Alhusin Halil berkata, ketika serbuan, pihaknya menemui seorang pekerja wanita warga asing bersama pelanggan lelakinya di sebuah bilik di premis tersebut.

"Hasil pemeriksaan awal, kita menemukan barang-barang disyaki digunakan untuk kegiatan pelacuran iaitu kondom, tuala dan tisu.

"Susulan pemeriksaan itu, anggota D7 turut menahan lima lagi wanita warga asing disyaki pelacur di premis yang sama," katanya.

Mengulas lanjut, Alhusin berkata, polis turut merampas wang berjumlah RM300 yang diberikan oleh pelangggan kepada wanita terbabit dipercayai sebagai upah perkhidmatan seks.

Tambahnya, semua wanita yang ditahan adalah berusia 20 hingga 30 tahun manakala pelanggan lelaki itu berusia 27 tahun.

"Kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Karamunsing untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana terlibat dengan aktiviti persundalan," katanya.