Jabatan Perikanan disaran menggubal undang-undang berkaitan mata pukat tunda yang menjadi punca pengurangan hasil laut komersil di negara ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Mazlan Abd Ghaffar menjelaskan syarat mata pukat tunda yang ditetapkan ketika ini iaitu 38 milimiter (mm),

Jelas beliau, hasil kajian yang dilakukan UMT mendapati 60 peratus daripada hasil laut yang ditangkap menggunakan pukat tunda adalah ikan baja.

"Ikan baja ini adalah ikan yang kecil yang tidak mempunyai nilai walaupun ia sebenarnya adalah spesis bernilai tinggi dan komersil.

"Contohnya macam anak ikan merah atau jenahak, kalau kurang daripada enam inci, ia akan menyebabkan hilang nilai komersil.

"Bila ia ditangkap pada saiz yang dikehendaki pasaran, ia boleh dijual pada harga yang sepatutnya dan hasil laut kita akan terjamin sebab tidak berlakunya tangkapan berlebihan," katanya kepada Astro AWANI di sini, hari ini.

Beliau pada masa sama mencadangkan penguatkuasaan perikanan di perainan negara perlu lebih ketat.

Jelasnya, walaupun pukat tunda menjadi pilihan utama dan penyumbang tangkapan terbesar hasil laut negara ini, ia tetap perlu dikawal selia bagi mengelak bekalan hasil laut mencapai tahap kritikal jangka masa panjang.

"Tidak boleh terus haramkan (pukat tunda) kerana ia akan jejaskan pendapatan nelayan tetapi dari segi jangka masa panjang ia akan memberi impak positif kepada kelestarian hasil laut negara.

"Malah, kesedaran dalam kalangan nelayan terutama pukat tunda perlu ada dan bila ada kesedaran, tidak akan wujud masalah kelestarian perikanan di Malaysia," katanya.

Menurut laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian yang dikeluarkan Persatuan Perikanan Dunia dan Akuakultur 2016, dianggarkan satu per tiga bekalan ikan adalah berlebihan dan ia merupakan trend yang boleh menjejaskan ekonomi dan keselamatan persekitaran.

Penambahbaikan pengurusan perikanan dilihat bukan sahaja menyelesaikan masalah penangkapan ikan yang berlebihan, malah ia meningkatkan peluang ekonomi seperti yang dilaporkan Prosiding Akedemi Sains Amerika Syarikat edisi 2016.

Ia turut mencatatkan potensi peningkatan keuntungan tahunan sebanyak AS$53 billion dan peningkatan 16 juta tan dalam tangkapan ikan global.