Sebanyak 60 buah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) dan 91 buah pusat jagaan di Pulau Pinang dikenal pasti belum berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri itu.

Pengarahnya, Shaballah Zainal Abidin berkata JKM Pulau Pinang melalui kerajaan negeri memberi tempoh sehingga Jun ini kepada pengusaha terlibat untuk mendaftarkan taska mahupun pusat jagaan masing-masing sebelum tindakan yang lebih tegas akan diambil.

"Sehingga Disember 2019, sebanyak 114 buah taska dan 87 pusat jagaan telah berdaftar di bawah JKM Pulau Pinang. Buat masa ini kami beri kelonggaran kepada mereka yang masih belum mendaftar premis masing-masing. Namun mereka tidak sepatutnya mengambil mudah akan kelonggaran yang diberikan kerana ia melibatkan keselamatan kanak-kanak ataupun warga emas.

"Kita lihat satu contoh insiden kebakaran yang berlaku ke atas sebuah pusat jagaan orang tua di George Town semalam, di mana siasatan mendapati mereka tidak berdaftar dengan JKM Pulau Pinang kerana tidak menepati kriteria, malah sebelum ini JKM telah pun melakukan kunjungan ke pusat jagaan itu sebanyak tiga kali," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Jom Daftar Pusat Jagaan dan Taska serta Program Keusahawanan dan Semarak Budaya Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti JKM Pulau Pinang oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow, di Bukit Mertajam pada Khamis.

Shaballah berkata kebiasaannya kebanyakan taska dan pusat jagaan yang belum berdaftar tidak memenuhi tiga syarat iaitu mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Kesihatan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh yang turut hadir pada majlis itu berkata kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang didera oleh ibu tirinya baru-baru ini masih dirawat di Hospital Seberang Jaya, manakala enam adik beradik tirinya diletakkan di bawah pusat jagaan keselamatan.

"Kita takkan umum kepada orang ramai kerana ia melibatkan masalah keluarga dan keselamatan mereka. Kita letakkan mereka di rumah yang selamat di bawah Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991," katanya.

Pada 9 Feb lepas, kanak-kanak perempuan itu diselamatkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan selepas menerima maklumat mengenai penderaan daripada penduduk Flat Ampang Jajar di Permatang Pauh, di sini dan dia ditemui dengan kesan kecederaan serius di badan, tangan dan muka sehingga menyebabkannya sukar membuka kedua-dua belah mata.

-- BERNAMA