Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 68 individu kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Rabu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, daripada jumlah itu, 14 orang direman dan 54 lagi dikenakan kompaun.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti dalam pub atau kelab malam (28) dan aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (40)," katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen di sini pada Khamis.

Pada masa sama katanya, kerajaan berharap rakyat dapat menjadi mata dan telinga bagi pihak berkuasa untuk melaporkan apa-apa tindakan yang melanggar SOP di bawah peraturan Akta 342.

"Saya tahu ramai yang sudah lupa dan langgar peraturan sebab anggap PKP seolah-olah sudah ditamatkan dan tiada penguatkuasaan. Jadi saya nak ingatkan patuhi SOP kerana tindakan masih seperti biasa. Akta 342 masih dilaksanakan," ujarnya lagi.

Mengenai Operasi Benteng (Op Bentang), dari 1 Mei sehingga 15 Julai 2020, seramai 1,623 PATI, 526 tekong dan 110 penyeludup telah ditahan.

Turut ditahan 59 bot atau kapal serta 161 kenderaan.

"Semalam, PDRM juga telah membuat 67 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng dan memeriksa 39,183 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.

"PDRM telah berjaya menahan 1 warganegara asing di Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng atas kesalahan imigresen," tambahnya.

Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan tidak akan berkompromi terhadap mereka yang terlibat dalam penyeludupan masuk PATI.