Perak sekali lagi merekodkan kes keracunan makanan membabitkan pelajar sekolah apabila 70 pelajar asrama Sekolah Menengah (SM) Poi Lam dikejarkan ke hospital setelah muntah-muntah selepas menjamah makanan kantin pada Khamis.

‎Daripada jumlah itu, 49 merupakan pelajar lelaki dan 21 adalah pelajar perempuan yang telah dikejarkan ke lima klinik swasta manakala seorang lagi telah dimasukkan ke hospital.

Pejabat Daerah Kesihatan Kinta dalam kenyataan medianya berkata, kantin asrama sekolah telah diarah tutup operasinya dengan serta merta berikutan insiden tersebut.

‎"Hasil siasatan mendapati empat daripada enam pekerja dapur asrama sekolah terbabit tidak mempunyai suntikan typhium dan tidak menghadiri kursus pengendalian makanan.

"Siasatan juga mendapati bahan pencuci telah disimpan bersama dengan bahan makanan di dalam rak simpanan makanan," kata kenyataan itu.

Kes keracunan pelajar sekolah SM Poi Lam ini merupakan yang terbaharu setelah beberapa kes keracunan melibatkan pelajar asrama sekolah sejak beberapa minggu lalu.

‎Rabu lalu, seramai 53 pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) mengalami keracunan makanan selepas menikmati hidangan yang disediakan pengendali makanan di dewan makan kolej tersebut.

Ahad lalu, seramai 52 pelajar Kolej Matrikulasi Gopeng menerima rawatan di hospital setelah mengalami simptom keracunan makanan selepas makan di cafetaria kolej berkenaan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Perak, Dr Juita Ghazali berkata, sebanyak 10 kes keracunan makanan direkodkan di sekolah di Perak sepanjang bulan ini.

‎Isnin lalu, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mahu Kementerian Pendidikan lebih tegas dalam hal pengendalian makanan di asrama sekolah bagi membendung kes keracunan serta memastikan keselamatan pelajar asrama terjamin.

Dalam perkembangan sama, Pejabat Kesihatan Daerah Kinta juga telah mengeluarkan notis kompaun RM1,000 kepada pihak pengurusan makanan dapur asrama sekolah berkenaan di bawah Akta Makanan 1983 mengikut Peraturan (11) Kebersihan Makanan 2009.