Seramai 72 pelajar asrama Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin, di sini dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam dipercayai akibat keracunan makanan malam tadi.

Kesemua pelajar yang terdiri daripada 41 lelaki dan 31 perempuan dibawa ke hospital oleh pengurusan sekolah sekitar jam 9.30 malam selepas beberapa pelajar mengadu sakit perut, loya dan muntah selepas solat Isyak.

Sebelum itu sekumpulan pelajar mendakwa mereka sakit perut dan loya selepas mengambil hidangan di dewan makan asrama sekolah berkenaan.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Sukumar Mahesan yang mengesahkan perkara itu berkata, kesemua pelajar berkenaan mengalami tanda-tanda keracunan makanan dan telah menerima rawatan.

Katanya, 70 pelajar dirawat sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang manakala dua pelajar perempuan dimasukkan ke wad kerana mengalami demam dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Dr Sukumar berkata, pihak Jabatan Kesihatan sedang menyiasat punca kejadian tersebut.