Kira-kira 77 peratus pesakit HIV/AIDS di Malaysia terdiri daripada mereka yang berumur antara 20 hingga 40 tahun yang kebanyakannya disebabkan hubungan seks tidak selamat.

Kementerian Kesihatan akan melaksanakan usaha lebih proaktif untuk menghindari jangkitan penyakit ini dalam kalangan golongan belia dan remaja, sekali gus mencapai sasaran mengakhiri AIDS menjelang 2030.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, sebelum ini kementerian telah berjaya mengurangkan peratus jangkitan baru HIV/AIDS yang berpunca perkongsian jarum daripada 70 peratus tahun 2002 kepada 48 peratus pada 2010, seterusnya kepada hanya 3 peratus pada 2018.

“Kita lihat dari segi taburan pesakit HIV yang baru ini, sebab kalau kita banding dengan dulu, golongan yang utama adalah melalui suntikan (pengguna dadah).

“Kita sudah kurangkan (kes jangkitan menerusi) suntikan iaitu sebanyak lebih daripada 90 peratus, jadi golongan yang (terjangkit) menerusi seks tanpa perlindungan ini masih ada.

“Jadi sekarang sudah berpusinglah. Kita perlu pertingkatkan fahaman mengenai HIV ini khususnya mereka yang melakukan seks tanpa perlindungan.

“Kita perlu pendidikan berterusan untuk mereka faham bahawa ada kemungkinan jangkitan melalui aktiviti seks tanpa perlindungan ini, dan berbilang pasangan,” ujar beliau.

Beliau ditemui selepas merasmikan sambutan Hari AIDS Sedunia 2019 peringkat negeri Perak di Ipoh pada Ahad.

Menurutnya, selaras dengan tema sambutan tahun ini ‘Komuniti Membawa Perubahan’, Kementerian Kesihatan akan terus bekerjasama dengan komuniti untuk memerangi wabak HIV/AIDS.

Sementara itu, Presiden Majlis Aids Malaysia, Bakhtiar Talhah berkata, berdasarkan pengalaman lalu, usaha membasmi HIV/AIDS boleh berjaya hasil kerjasama dengan komuniti.

“Memanglah cara pencegahan kita kena bagi pendidikan dan kesedaran. Tapi yang lebih penting kalau kita tengok (wujud) kerjasama antara Kementian Kesihatan dengan NGO, macam Majlis Aids Malaysia.

“Memang kita gunakan komuniti itu sendiri sebab mereka kenal komuniti sendiri. Mereka tahu macam mana cara nak mendekati, cara nak bagi maklumat, cara nak beri pendidikan. Sekitar 15 tahun dulu, masa kita buat program pertukaran jarum, kita buat macam tu, prinsip yang sama, kita gunakan komuniti itu juga,” jelasnya.

Mereka yang berisiko dijangkiti HIV/AIDS dinasihatkan supaya membuat pemeriksaan, seterusnya menjalani rawatan secara percuma di hospital kerajaan.

Penyakit HIV/AIDS boleh dirawati dan sekiranya mendapat rawatan awal, pesakit boleh menjalani kehidupan seperti biasa, tanpa memberi risiko kepada orang lain.