Insentif diskaun 20 peratus bagi pembayaran balik keseluruhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah mendapat sambutan menggalakkan, termasuk daripada mereka yang disenarai hitam.

Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata sejak 1 Okt 2012 hingga tarikh akhir insentif itu Isnin lepas, seramai 4,469 daripada 79,134 peminjam yang melangsaikan hutang mereka, terdiri daripada mereka yang disenarai hitam.

"PTPTN telah menerima pembayaran balik sebanyak RM758.20 juta daripada 79,134 peminjam dan setelah ditolak diskaun 20 peratus, jumlah keseluruhan bayaran pinjaman yang diterima adalah RM606.56 juta," katanya dalam sidang berita di sini hari ini.

Beliau berkata pemberian insentif diskaun 20 peratus yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2013, telah membantu mengatasi masalah hutang tertunggak para peminjam PTPTN.

"Pembayaran balik pinjaman PTPTN adalah sangat penting kerana ia memastikan kelestarian PTPTN dan menjamin pembiayaan kepada generasi yang akan datang sebagaimana kemudahan yang diperoleh peminjam PTPTN ketika ini" katanya.

Shamsul Anuar berkata kutipan pembayaran balik pinjaman PTPTN semakin meningkat dengan RM553 juta berjaya dipungut pada 2009, RM638 juta (2010), RM737 juta (2011) dan RM800.47 pada tahun lepas.

Walau bagaimanapun secara keseluruhan bayaran balik pembiayaan pendidikan yang diterima sehingga 31 Ogos lepas hanya RM4.48 bilion atau 48.04 peratus daripada bayaran balik sebenar yang sepatutnya diterima, iaitu sebanyak RM9.33 bilion, katanya.

Jumlah tersebut setelah ditolak penangguhan dan pengecualian bayaran balik berjumlah RM130 juta (RM0.13 bilion), tambahnya.

Katanya, setakat ini seramai 887,337 atau 66.15 peratus daripada keseluruhan 1.341 juta penerima pinjaman PTPTN telah membayar balik pinjaman.

Jelas beliau, para peminjam masih boleh mendapat insentif diskaun 10 peratus jika memulakan bayaran balik pembiayaan PTPTN mengikut jadual bayaran balik yang ditetapkan

"PTPTN sentiasa bersedia untuk berunding sekiranya terdapat kekangan untuk peminjam melaksanakan bayaran balik mengikut jadual dan melakukan penstrukturan semula pinjaman," katanya.