Seramai 790 orang pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) berlepas pulang ke kampung halaman dari sembilan pusat pelepasan pada Isnin malam.

Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, kesemua pelajar berkenaan berlepas dari pusat pelepasan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

"Pergerakan pelajar ke 17 destinasi di tiga buah negeri di utara tanah air bermula dari pusat pelepasan pada jam 9 malam, menggunakan perkhidmatan 50 buah bas yang telah disanitasi," katanya.

Pelajar IPT di salah sebuah pusat pelepasan di sekitar Kuala Lumpur

Daripada jumlah itu, 32 buah bas membawa pelajar ke Negeri Kedah, 13 buah bas ke negeri Pulau Pinang dan lima buah bas ke Negeri Perlis.

Tambah Noraini, kesemua pelajar itu akan dihantar di Ibu Pejabat Polis Daerah atau Pejabat Daerah yang dikenal pasti.

"Seorang wakil keluarga akan menjemput pelajar di Ibu Pejabat Polis(IPD)/Pejabat Daerah yang telah dikenalpasti.

Bagi keluarga yang tidak dapat menjemput pelajar di lokasi ketibaan, urusan penghantaran pelajar akan diuruskan oleh agensi kerajaan yang terlibat," katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Proses sanitasi dilakukan di dalam bas yang membawa pelajar IPT

Antara pelajar yang terlibat, 89 pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), 150 pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), 80 pelajar dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Manakala 146 pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, 49 pelajar dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, 31 pelajar dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan 31 pelajar dari Politeknik Premier Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Ia merupakan kumpulan pertama pelajar IPT yang dibenarkan pulang sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Bagaimanapun, kerajaan hanya membenarkan pergerakan pelajar pulang dari kawasan zon hijau secara berperinngkat bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19.

BACA: Pelajar perlu patuhi garis panduan kesihatan sebelum pulang ke kampung

BACA: Pelajar IPT di Zon Tengah mula bergerak malam Isnin