Seramai 793 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 dari Australia, Indonesia, Singapura, Qatar, Myanmar, Filipina, Taiwan, India, Laos, China dan Hong Kong pada Isnin.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 787 individu diperintah menjalani kuarantin wajib di kediaman mereka manakala enam individu dibawa ke hospital.

“Seramai 139 individu telah masuk melalui pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar, Kompleks Sultan Abu Bakar, Pelabuhan Pasir Gudang dan Feri Pasir Gudang dan kesemua diperintah untuk menjalani kuarantin di rumah.

“PDRM telah membuat 1,178 pemantauan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) home quarantine dan mendapati kesemua mereka mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Tambah beliau, sebanyak 15 operasi sanitasi meliputi 15 zon yang melibatkan tujuh buah negeri termasuk Sabah (enam operasi), Sarawak dan Terengganu (dua operasi) dijalankan pada Ahad.

“Operasi sanitasi itu melibatkan 93 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta 110 anggota Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Ops Sanitasi Awam sejak 30 Mac 2020 telah melakukan 9,208 operasi sanitasi merangkumi 134 zon.

“Sebanyak 12,690 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,686 pusat perniagaan, 5,535 bangunan kerajaan, 1,591 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,524 tempat awam dan 354 pasar raya,” ujarnya lagi.