Sebanyak 8,353 notis saman dikeluarkan sepanjang Op Selamat 14 dalam tempoh enam hari.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata antara notis saman tertinggi yang dikeluarkan adalah kesalahan memandu melebihi had laju yang ditetapkan.

"Sebanyak 3,059 notis saman dikeluarkan bagi kesalahan melebihi had laju yang ditetapkan manakala 85 notis saman bagi kesalahan memandu dilorong kecemasan.

"Notis saman yang dikeluarkan setakat ini menunjukkan penurunan berbanding Op Selamat 12 pada 2018 yang berjumlah 10,580 notis saman," katanya pada sidang media selepas mengedarkan beg cenderamata sempena kempen Op Selamat 14 di Plaza Tol Jalan Duta pada Isnin.

Dalam pada itu, jumlah kemalangan setakat enam hari ini mencatatkan penurunan sebanyak 1,140 kes berbanding tahun lepas 1,397 kes.

Mazlan berkata, seramai 13 pegawai dan 186 anggota polis ditugaskan bagi mengawasi kelancaran keadaan lalu lintas serta keselamatan.

"Anggota polis trafik juga membuat rondaan motosikal di beberapa lokasi seperti Tol Duta, Tol Kg Batu Bandar Dalam, Bulatan Batu Caves dan Tol Sg Besi.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk memastikan kenderaan anda dalam keadaan baik dan memandu dengan berhemah untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini," tambahnya.