Lapan sekeluarga nyaris maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah jip yang hilang kawalan dalam kejadian di Jalan Permatang Tiga, Sungai Lokan, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 malam Ahad, pemandu kereta Perodua Alza berusia 41 tahun patah kaki kanan setelah tersepit di dalam kenderaannya kira-kira 20 minit sebelum berjaya dikeluarkan pasukan bomba dan penyelamat.

Manakala tujuh lagi penumpang yang turut berada di dalam kenderaan tersebut mengalami kecederaan di bahagian kaki dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata kemalangan berlaku apabila jip jenis Isuzu D'max yang dipandu lelaki berusia 29 tahun itu hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

"Apabila sampai di tempat kejadian, jip terbabit hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah MPV jenis Perodua Alza yang datang dari arah lampu isyarat Sungai Lokan menghala ke Kepala Batas.

"Selain pemandu, terdapat tujuh ahli keluarga di dalam Perodua Alza terbabit yang terdiri daripada tiga wanita dewasa dan empat kanak-kanak perempuan berusia dalam lingkungan dua hingga 70 tahun yang turut mengalami kecederaan,” kata Noorzainy dalam satu kenyataan.

Kesemua mangsa, termasuk pemandu jip yang mengalami sakit dada dan kepala, dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan 1987.