Tutup

80 malim gunung bersiap sedia di Gunung Kinabalu

80 malim gunung bersiap sedia di Gunung Kinabalu
Pasukan khas Mosar diletakkan dalam keadaan bersiap sedia di kawasan Gunung Kinabalu, Sabah bagi memastikan keselamatan pelancong ekoran kejadian gempa bumi pada Khamis lalu. - Gambar fail
ALOR SETAR: Pasukan khas Mencari dan Menyelamat di Gunung (Mosar) diletakkan dalam keadaan bersiap sedia di kawasan Gunung Kinabalu, Sabah bagi memastikan keselamatan pelancong ekoran kejadian gempa bumi pada Khamis lalu.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, pasukan itu terdiri daripada 80 orang malim gunung yang diletakkan di sekitar kawasan pergunungan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Katanya, sebelum ini pasukan Mosar ini telah banyak membantu JBPM bukan sahaja ketika kejadian gempa bumi malah apabila pendaki jatuh gaung, tersesat dan sebagainya.

"Pasukan ni bukan sahaja berkaitan dengan gempa bumi. Sebelum ini, banyak insiden yang berlaku ketika orang memanjat, ada yang terjatuh cedera, ada yang sesat dan mereka inilah yang banyak memberi bantuan.
"Sebenarnya, mereka ini adalah malim gunung yang kita latih dalam social rescue (penyelamatan awam) dan kita lantik mereka sebagai anggota bomba bantuan. Kita bayar elaun mereka,” kata Wan Mohd Nor.

Beliau berkata demikian pada sidang media sebaik selesai Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran JBPM Negeri Kedah di sebuah hotel di sini, pada Ahad.

Jelasnya lagi, pasukan itu ditubuhkan sejak 2015 selepas insiden gempa bumi di Ranau yang mengorbankan 18 orang pendaki termasuk malim gunung.

Pada 8 Mac lalu, satu gempa bumi bermagnitud 5.2 pada skala Richter dengan kedalaman 5km menggegarkan Ranau, Sabah pada jam 9.06 malam.

Gegaran itu turut menyebabkan seramai 130 pendaki Gunung Kinabalu terpaksa dibawa turun ke Pondok Timpohon pada 4.30 jam pagi.