Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan bahawa barisan petugas hadapan sentiasa mengamalkan langkah pencegahan yang tinggi sepanjang merawat pesakit COVID-19.

Ia sekali gus menafikan dakwaan bahawa kementerian tersebut tidak mementingkan keselamatan petugas barisan hadapan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, 80 peratus kes positif yang melibatkan petugas kesihatan adalah bukan berkait dengan perkhidmatan di hospital.

Jelasnya, dua kes kematian melibatkan petugas hadapan sebelum ini mempunyai sejarah perjalanan ke Turki dan Indonesia sementara daripada 181 kes positif, 67 peratus atau 122 kes menunjukkan petugas dikesan dijangkiti ketika berada di luar kawasan hospital.

BACA: Tiada petugas kesihatan di ICU dan wad dijangkiti COVID-19 - Dr Noor Hisham

“Bererti mereka menghadiri contohnya majlis perkahwinan dan sebagainya dan mereka datang ada yang menjangkiti rakan-rakan mereka dan sebagainya.

“Kita lihat keseluruhan ada 36 (kes) yang dijangkiti semasa berkhidmat di klinik atau di Unit Rawatan Rapi (ICU). Tetapi, kesemua 36 yang dijangkiti sebab apabila mereka melaksanakan sesuatu prosedur, pesakit tersebut tidak memberitahu atau memaklumkan kepada doktor bahawa mereka ada hubung kait dengan kontak rapat.

“Jadi, mereka tidak memakai pelindung atau PPE,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Rabu.

Tegas Dr Noor Hisham, setakat ini tiada seorang pun petugas kesihatan yang bertugas di wad atau ICU disahkan dijangkiti COVID-19.

“Bermaksud mereka mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan memakai PPE semasa melaksanakan tugas.

“Jadi isu jangkitan yang meningkat, kalau kita lihat 20 peratus adalah di hospital dan bererti 80 peratus jangkitan bukan berkaitan dengan perkhidmatan yang diberikan di hospital.

“Maka, kita nasihatkan yang 20 peratus itu sama ada pesakit ataupun mereka yang bekerja di hospital, kalau ada hubung kait dengan golongan berisiko tinggi hendaklah memaklumkan kepada KKM atau pengurusan hospital,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sejak kes pertama positif COVID-19 dikesan dalam kalangan kakitangan petugas hospital swasta, pihaknya telah melakukan dua mesyuarat bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dapat ditingkatkan.