LEBIH 80 peratus sungai di bandar-bandar utama di negara ini boleh dianggap sungai 'mati' akibat pencemaran terutamanya sisa industri yang semakin meningkat setiap tahun.

Pensyarah Pusat Pengajian Sosial, Persekitaran dan Pembangunan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman mendedahkan, akibat pembangunan pesat kebanyakan sungai di bandar kehilangan keupayaan ekosistem untuk membekalkan air bersih, memproses kumbah dan mengekalkan produktivitinya.

Katanya, malah ada sungai berada pada tahap nazak dengan dipenuhi sampah-sarap terutamanya plastik, botol-botol, tayar terpakai, malah membentuk pulau kecil menyebabkan air sungai hitam dan mengeluarkan bau busuk.

"Antara contoh beberapa sungai dikategorikan sebagai tercemar di Malaysia termasuklah Sungai Juru di Pulau Pinang, Sungai Segget di Johor dan Sungai Klang di Selangor.

"Terkini mengikut data berkenaan pada tahun lalu terdapat 63 sungai dikategorikan tercemar berbanding tahun sebelumnya iaitu tahun 2017, sekitar 52 sungai dan 38 sungai (tahun 2016)," kata pakar hidrologi dan permodelan sungai itu kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Ekhwan yang juga Mantan Timbalan Naib Cancelor UKM dan Universiti Sultan Zainal Abidin (Penyelidikan dan Inovasi) berkata, trend kualiti air sungai di negara ini mengikut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai status pencemaran 120 lembangan sungai utama di Malaysia daripada tahun 2005 hingga 2018 agak membimbangkan kerana sungai-sungai dikategorikan sebagai tercemar tidak banyak berubah semenjak tahun 2005.

Menurutnya, lebih menyedihkan, kebanyakan sungai yang mengalami pencemaran terletak di kawasan bandar, lokasi majoriti masyarakatnya adalah dalam kalangan terpelajar dengan sebahagian besar bahan yang mencemarkannya berasal daripada pelbagai sumber termasuk air daripada loji kumbahan, premis industri dan komersial, perumahan serta akibat jumlah aliran yang kecil berikutan kawasan berturap begitu luas.

"Terjahan pembangunan turut meningkatkan kadar sedimentasi di dalam sungai. Selepas merdeka, banyak kawasan hutan telah diterangkan dan dibangunkan sebagai bandar kluster dan bandar satelit.

"Kawasan penempatan baharu wujud seiring dengan kawasan zon perindustrian baharu seperti di Pasir Gudang di Johor, Batu Berendam di Melaka, Senawang di Negeri Sembilan dan Sepang di Selangor," katanya.

Menurutnya, di kawasan Lembah Klang, misalnya, dianggarkan secara purata, sebanyak 2,950 tan/km2 keladak mengalir ke sungai-sungai.

"Setakat ini, 25 sungai iaitu 16 sungai di Johor, lima di Lembah Klang, tiga di Pulau Pinang dan satu di Melaka dikategorikan sebagai pencemaran, menjadikan keseluruhan sebanyak 32 sungai disenaraikan dalam kategori kelas empat dan kelas lima.

"Kesan pencemaran sungai menjejaskan bekalan air bersih kepada masyarakat di kawasan bandar. Masyarakat terpaksa membayar kos tinggi bagi menampung semula kos rawatan air di loji. Ia tentunya akan menyebabkan bil perkhidmatan air lebih mahal.

"Kerajaan pula terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lebih besar bagi menguruskan air mentah untuk dirawat, mencari sumber air alternatif seperti air bawah tanah, air laut disuling atau air hujan," katanya.

Ekhwan berkata, sungai telah tercemar semenjak bermulanya campur tangan manusia dalam ekosistem sungai.

"Pelbagai perubahan aktiviti ekonomi mencetuskan peningkatan bahan mencemar. Aktiviti antropogenik yang dipacu oleh era revolusi industri menyebabkan pelbagai industri tumbuh dengan pesat dan menyumbang kepada pencemaran ekosistem sungai," katanya.

Dalam satu pendedahan Jabatan Alam Sekitar (JAS) beberapa tahun lalu, kira-kira 300,000 tan sampah cukup untuk mengisi 110 kolam renang saiz Olimpik dibuang ke dalam sungai setiap tahun dan aktiviti tidak bertanggungjawab itu menyumbang kepada krisis air di negara ini.

Ekhwan menegaskan, dalam usaha menyelamatkan sungai daripada terus tercemar, tumpuan perlu diberikan di kawasan lembangan dan tadahan air. Ia sepatutnya dilindungi dan dipelihara untuk selama-lamanya.

"Saya lebih suka menggunakan istilah melestarikan sungai bagi mengatasi masalah pencemaran sungai.

"Apabila bercakap tentang melestarikan air sungai, akan terdapat unsur-unsur perselisihan dan persaingan dalam urusan pengurusan sumber air bersih dari sungai," katanya.