Sembilan kes rotavirus dikesan membabitkan dua kes di Pulau Pinang dan tujuh di Kedah.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kesemua mangsa dilaporkan mandi di taman rekreasi dekat Bukit Merah sebelum dikesan mengalami gejala cirit-birit dan muntah.

Susulan kejadian, Jabatan Kesihatan Perak telah mengarahkan penutupan sementara taman rekreasi berkenaan bagi pemeriksaan lanjut.

"Tempat riadah tersebut telah ditutup bagi membolehkan Jabatan Kesihatan Perak membuat pemeriksaan kualiti air di tempat itu dan pemantauan berterusan," katanya selepas merasmikan Persidangan Pelan Tindakan Kesihatan Awam Kebangsaan 2016 pada Khamis.


Semalam, trending di media sosial mengenai kes kanak-kanak yang mengalami cirit-birit dan muntah selepas mandi di taman rekreasi dekat Bukit Merah yang dikaitkan dengan gejala rotavirus.

Dalam kenyataan terbaharu petang Khamis, Kementerian Kesihatan memaklumkan kesemua mangsa dalam sembilan kes itu berada dalam keadaan stabil dan hanya tiga kes disahkan positif rotavirus.

Kesemua mereka dirawat di Hospital Kulim, Kedah dan ibu bapa dinasihatkan agar tidak menghantar anak-anak mereka yang mempunyai gejala cirit-birit ke taska, tadika, sekolah atau kolam renang bagi mengelak merebaknya jangkitan itu kepada orang lain.