Sembilan anggota Penguatkuasa Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang direman tujuh hari bagi bagi membantu siasatan kes melindungi kegiatan melombong dan mengangkut bauksit secara haram ketika perintah moratorium dikuatkuasa di negeri terbabit.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan susulan penahanan anggota penguatkuasa terbabit lebih banyak tangkapan termasuk membabitkan kakitangan agensi lain akan dilakukan dalam tempoh terdekat.

Semua sembilan kakitangan PTG Pahang dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuantan dengan kawalan ketat pegawai SPRM pada jam 10:20 pagi tadi.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman manakala kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya SPRM Mohamad Fadhly Mohd Zambry.

Semua yang direman berusia antara 29 dan 59 tahun, ditahan kira-kira jam tiga petang Rabu di beberapa lokasi di Kuantan, susulan penahanan seorang Pegawai Kanan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Pahang berusia 56 tahun.

Kesemua mereka ditahan di lokap SPRM Pahang di Indera Mahkota, Kuantan.

Difahamkan semalam SPRM menyerbu beberapa jabatan kerajaan serta pelabuhan Kuantan dan merampas pelbagai dokumen.

18 lori yang digunakan untuk kegiatan haram perlombongan bauksit turut disita di Bukit Goh, Kuantan.

Dalam operasi tersebut, SPRM mendapati aktiviti perlombongan secara haram masih berlaku walaupun kerajaan negeri telah mengarahkan tempoh moratorium dilanjutkan.

Berkuatkuasa sejak 15 Januari 2016 kerajaan menguatkuasakan moratorium untuk semua kegiatan perlombongan bauksit.