Sehingga Februari 2017, sebanyak 946 cerun di Semenanjung Malaysia telah diklasifikasikan sebagai Berisiko Sangat Tinggi oleh Kementerian Kerja Raya (KKR).

Jumlah tersebut diperoleh dari sejumlah 16,453 cerun yang telah didaftarkan sehingga Februari 2017 di sepanjang Jalan Persekutuan di Semenanjung Malaysia.

Sejumlah 1,551 cerun pula diklasifikasikan sebagai Berisiko Tinggi; 2,307 berisiko sederhana; 5,122 berisiko rendah; dan 6,528 diletakkan sebagai Berisiko Sangat Rendah.

"KKR melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) telah melantik syarikat Pintas Utama Sdn Bhd (PUSB) sebagai konsesi untuk mengambil tindakan penyenggaraan pembaikan cerun dan juga tindakan pencegahan untuk
jangka masa panjang.

"Pada masa yang sama, PUSB turut dikerah untuk membantu pihak konsesi jalan raya tempatan untuk membersihkan jalan raya yang terjejas akibat sisa runtuhan berpunca daripada kegagalan cerun bagi
memberikan laluan yang selamat kepada para pengguna.," kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam usaha menyebar luas maklumat berkaitan cerun seperti tanda-tanda awal tanah runtuh, JKR turut mengambil langkah edukatif dengan menyediakan klip video yang diedarkan kepada semua stesen televisyen untuk disiar secara berkala.

Iklan berinformasi dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil turut dihasilkan dan dihebahkan melalui akaun rasmi twitter Cawangan Kejuruteraan Cerun, JKR iaitu @CerunJKR.

"Sebagai usaha dalam memastikan pemantauan cerun yang berkesan, penglibatan pihak lain seperti Pihak Berkuasa Tempatan adalah dimohon untuk memastikan semua saluran longkang terutamanya
berhampiran cerun, bebas daripada sebarang sampah yang boleh menghalang aliran.

"Pembaikan awal terhadap longkang bermasalah berhampiran cerun dan tembok penahan dapat mengelakkan kejadian lebih teruk seperti kegagalan cerun, tanah runtuh dan sebagainya terutamanya pada
musim hujan," katanya lagi.