Sebanyak 954 operasi sanitasi bagi mencegah COVID-19 telah dilakukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di 81 zon di seluruh negara sejak 30 Mac lalu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi sanitasi awam itu melibatkan 23 Zon Merah dan 16 Zon Jingga.

"Semalam (Rabu), sebanyak 159 operasi sanitasi dilakukan meliputi 61 zon di 12 negeri, termasuk 29 kawasan di Johor dan 30 kawasan di Kuala Lumpur. Kawasan yang turut dinyah cemar ialah 686 bangunan kerajaan dan 433 tempat awam,," katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.

KPKT menyasarkan untuk melakukan operasi nyah cemar 38 Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Zon Merah dan Zon Jingga.

"Semalam sebanyak lima PPR telah dinyah cemar menjadikan jumlah keseluruhan 30 PPR telah selasai disanitasi melibatkan 31,775 unit rumah," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sehingga Rabu, sebanyak 143 pusat kuarantin termasuk 24 buah hotel telah beroperasi dengan 9,720 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

"Semalam (Rabu) seramai 229 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dan telah menjalani kuarantin wajib," tambahnya.