AADK tiada halangan kajian ketum untuk tujuan perubatan

AADK tiada halangan kajian ketum untuk tujuan perubatan
Undang-undang kerajaan menanam ketum adalah satu kesalahan namun kita tidak mempunyai halangan sekiranya ada sebarang kajian yang dilakukan tetapi mestilah mengikut peraturan. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) tidak menghalang mana-mana pihak yang berhasrat untuk membuat kajian terhadap ketum bagi tujuan perubatan, kata ketua pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Beliau berkata ketum adalah tanaman tempatan yang senang membiak tetapi telah disalah guna menjadi dadah dalam kalangan anak muda kerana dicampur dengan bahan lain seperti ubat nyamuk, air soda dan dadah lain sehingga menjadikannya bahaya.

"Di negara ini, kita belum lagi mempunyai kajian yang sebetulnya dan diterima oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tentang kebaikan ketum yang memberi faedah kepada perubatan.

"Buat masa ini, undang-undang kerajaan menanam ketum adalah satu kesalahan namun kita tidak mempunyai halangan sekiranya ada sebarang kajian yang dilakukan tetapi mestilah mengikut peraturan di bawah KKM," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Pencegahan Anti Dadah 2018 di Ideal Convention Centre (IDCC), di sini, pada Selasa.
BACA: Kajian pelbagai agensi buktikan manfaat daun ketum

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching, yang turut hadir pada majlis itu menggesa Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) agar memperkasakan program Laluan Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa), sebagai usaha mengekang kegiatan penyalahgunaan dadah terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah.

BACA: Ketum berpotensi sebagai rawatan dadah, tahan sakit - USM 

Program PPDa yang diperkenalkan sejak 2012 bertujuan memberi pengetahuan, kesedaran dan keinsafan kepada murid, guru, kakitangan sekolah serta ibu bapa agar mereka menjauhi serta menentang ancaman dadah selain menjadikan sekolah bebas dadah.

"Kerjasama dengan semua agensi kerajaan seperti AADK, PDRM, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat turut akan diperkemaskan agar ancaman masalah dadah khususnya kepada pelajar sekolah dapat dikawal bermula di sekolah rendah," kata Teo.

-- BERNAMA