Tindakan pantas seorang pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Ipoh berjaya menenangkan seorang lelaki yang cuba membunuh diri dengan terjun dari Tingkat 12 Prima Kondominium dekat sini pada pagi Rabu.

Ketua Operasi BBP Ipoh, Syed Azrul Hizam Abd Aziz ketika dihubungi Astro AWANI berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang melihat kelibat lelaki berusia 32 tahun itu di balkoni sekitar pukul 7.20 pagi.

Katanya, lelaki tersebut dipercayai mengalami masalah peribadi putus cinta baru-baru ini dan mengambil keputusan untuk membunuh diri dengan terjun dari balkoni tingkat 12.

"Saya mengambil masa selama 20 minit untuk memujuk lelaki berkenaan agar dia membatalkan niatnya untuk terjun dari bangunan kondominium itu, dan mententeramkannya secara baik.

"Saya mengatakan bahawa dia masih muda, masih mempunyai nenek yang uzur yang perlu dijaga dan menyayanginya, serta masih ramai lagi wanita di luar sana yang boleh menjadi pengganti, ini bukan pengakhirannya.

"Pada mulanya dia menolak dan bertindak tidak tenang, menyuruh saya melepaskan genggaman untuk dia naik secara sendiri tetapi saya enggan berbuat demikian," katanya.

Syed Azrul berkata, selepas merapati mangsa beliau telah mengarahkan anggota BBP Ipoh untuk mengikat tali pada kaki dan bahagian badan mangsa untuk memastikannya selamat.

"Saya sendiri telah turun ke luar balkoni, memujuknya sekali lagi dan menolaknya ke bahagian dalam bersama bantuan anggota BBP Ipoh, memang agak mencabar namun syukur dia berjaya diselamatkan," ujarnya lagi.

Katanya,mangsa kemudian diserahkan kepada pihak hospital bagi pemeriksaan lanjut dan operasi tamat sekitar 9 pagi.