Niat dua beradik keluar menjala ikan berakhir tragedi apabila kedua-duanya maut lemas di Kampung Changkat Lada, dekat sini pada Ahad.

Mayat mangsa pertama, Lokman Abd Samad, 20 tahun ditemui sekitar pukul 4.52 petang ini manakala usaha mencari adiknya, Mohd Raihan, 6 tahun masih diteruskan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar, Penolong Penguasa Bomba Zaiful Affendi Ahmad berkata, maklumat awal daripada waris keluarga mendapati kedua beradik itu dipercayai pergi menjala ikan sebelum mengambil keputusan untuk membersihkan diri di tali air berhampiran.

Usaha mencari dan menyelamat Mohd Raihan, 6 tahun masih giat dijalankan.

“Berdasarkan maklumat awal orang awam, terdapat dua lelaki telah lemas di tali air Seberang Perak ketika mandi di kawasan berkenaan.

“Sehubungan itu, operasi pencarian telah dilakukan dengan kaedah pencarian di permukaan air menggunakan bot di kawasan sekitar mangsa dipercayai lemas.

“Mangsa pertama iaitu abang, Lokman telah ditemui dan kami sedang berusaha mencari adiknya itu Mohd Raihan yang berusia enam tahun,” katanya kepada Astro Awani ketika dihubungi pada petang Ahad.

Jelasnya, seramai 17 anggota dari pelbagai agensi terlibat dalam operasi pencarian dan cuaca dilaporkan cerah bagi tindakan bersepadu berkenaan.