Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berikrar akan terus mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan meneruskan bantuan kewangan kepada sekolah Cina di negeri tersebut.

Polisi yang dipelopori Allahyarham Tan Sri Adenan Satem ketika mula memegang jawatan Ketua Menteri itu membolehkan rakyat Sarawak yang memiliki sijil itu menyertai perkhidmatan awam negeri dan memohon pinjaman pendidikan daripada Yayasan Sarawak.

"Sebagai kapten, saya akan meneruskan polisi mengiktiraf UEC dan memberi bantuan kepada sekolah Cina di Sarawak," katanya pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina, Persatuan Cina Bersatu Bahagian Sibu yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Ragad Kurdi di sini malam tadi.

Kerajaan negeri di bawah pimpinan Adenan merupakan satu-satunya negeri yang memberi pengiktirafan kepada kelayakan peperiksaan persendirian Cina yang setaraf dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Abang Johari berkata, polisi lain yang akan diteruskan ialah perjuangan untuk memperoleh penurunan kuasa daripada Putrajaya.

Abang Johari berkata, beliau akan terus berusaha untuk membangunkan ekonomi di samping memelihara persekitaran hijau di negeri itu.

"Sudah tentu kita akan terus memelihara persekitaran hijau serta pada masa sama mencari jalan untuk meningkatkan lagi ekonomi berdasarkan pasaran semasa. Saya akan mempelajari ekonomi digital," katanya.

Oleh itu katanya, kerajaan negeri bercadang mengadakan persidangan ekonomi digital dan menjemput pakar dalam bidang tersebut.

Populasi Sarawak pada masa ini adalah 2.7 juta penduduk, dengan kekuatan dari segi sumber semula jadi dan bakat yang dimiliki rakyatnya, beliau percaya masa hadapan Sarawak adalah cerah.

-- BERNAMA