Seorang kanak-kanak lelaki maut sementara adiknya berusia dua tahun dilaporkan kritikal selepas terjatuh dalam kolah air sedalam 0.6 meter di luar rumah datuknya di Kawasan Perindustrian Ringan Maju, Jelapang, pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 10 pagi itu, mangsa berusia empat tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima bantuan pernafasan di Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, kejadian disedari nenek mangsa ketika mencari kelibat dua beradik berkenaan di sekitar rumah terbabit.

Menurutnya, ketika kejadian, ibu bapa mangsa serta ahli keluarga lain sedang sibuk menyiapkan sarapan dan makanan tengah hari.

"Bunyi riuh rendah suara kanak-kanak yang secara tiba-tiba jadi senyap menyebabkan nenek mangsa mencari sebelum menemui mereka dalam kolah dipenuhi air.

"Ketika menerima bantuan pernafasan di hospital, seorang daripada mangsa disahkan meninggal dunia sementara seorang lagi dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang merupakan anak ketiga dan keempat dari empat beradik pulang ke kampung sempena cuti Tahun Baharu Cina ini.

"Ketika kejadian, dua beradik lelaki itu memang dilihat sedang bermain bersama, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Kes lemas lain yang dilaporkan hari ini (16 Januari 2018):

BACA: Tragedi Tahun Baru Cina: Empat lemas ketika bercuti di Pantai Tok Bali

BACA: Perkelahan terakhir dua beradik, mati lemas di air terjun Sungai Sendat