Anggota Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah dibebaskan hari ini.

Majistret Ahmad Afiq Hasan membenarkan bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) itu dan abangnya, yang digelar 'Datuk', dibebaskan dengan jaminan berjumlah RM1 juta dan dua penjamin selepas tempoh tahanan reman berakhir hari ini.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO itu ditahan pada 25 Sept selepas hadir di ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan membantu siasatan kes menerima rasuah.

BACA: Wang tunai, barang kemas isteri Azeez Abdul Rahim dirampas SPRM

SPRM menahan abang Abdul Azeez setengah jam selepas itu di sebuah lokasi di Sungai Buloh, Selangor.

Sementera itu, sepupu mereka, yang juga seorang pengarah syarikat berusia 36 tahun, ditahan pada 5.30 petang hari yang sama di Putrajaya.

Kesemua mereka direman selama empat hari bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.

Pada Sabtu lepas, Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan SPRM melanjutkan tempoh tahanan reman terhadap Abdul Azeez dan abangnya itu selama enam hari.

Bagaimanapun, sepupu Abdul Azeez dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM10,000 dan dua penjamin selepas SPRM tidak meminta lanjutan reman.

Abdul Azeez tiba di perkarangan Mahkamah Majistret pada pukul 9.30 pagi dengan kemeja biru muda dan tangan bergari.

Ketibaannya disambut kira-kira 100 penyokong yang menunggu di perkarangan mahkamah sejak 8.00 pagi.