Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah memfailkan suatu prosiding fitnah terhadap Pengasas dan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, yang berpangkalan di London.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, memberitahu Astro AWANI bahawa pemfailan prosiding fitnah itu telah dibuat pada 21 April lepas.

“Kita sudah lama hantar ‘notice of complaint’ kepada Rewcastle Brown. Presiden Pas telah memberi arahan kepada peguamnya di London untuk menyaman pihak Rewcastle Brown,” kata Takiyuddin dalam satu temu ramah telefon.

Dalam satu kenyataan yang turut dikeluarkan hari ini, Takiyuddin menjelaskan bahawa saman itu difailkan ekoran artikel bertajuk “As Najib denies all over 1MDB, let’s not forget his many other criminal connections” yang disiarkan pada 6 Mei.

“Artikel tersebut termasuklah kenyataan yang boleh difahami bahawa Presiden PAS secara peribadi telah menerima atau mendapat atau meluluskan penerimaan sejumlah besar rasuah daripada Perdana Menteri Najib sebagai pertukaran untuk berkompromi dalam hal pendirian politik PAS.

“Segala tohmahan-tohmahan tersebut adalah sesuatu yang tidak benar sama sekali. Tohmahan dan dakwaan rasuah seumpama ini jelas merosakkan dan menjejaskan reputasi seseorang seperti Presiden Pas yang amat komited dengan proses demokrasi sejak sekian lama di mana falsafah politik serta segala tindak tanduk beliau jelas menggambarkan beliau berpegang teguh kepada prinsip-prinsip ajaran Islam.

“Presiden Pas dalam tindakan ini telah melantik dan mengarahkan peguamnya yang berpangkalan di London, Carter-Ruck, untuk menghantar ‘letter of complaint’ kepada Rewcastle Brown pada akhir tahun 2016, hanya untuk meminta agar artikel tersebut dibuang dan menyiarkan pernyataan mohon maaf.

“Namun Rewcastle Brown telah gagal sama sekali untuk memberi respons kepada aduan tersebut, sebaliknya telah membuat beberapa kenyataan awam yang merumitkan lagi keadaan,” katanya dalam kenyataan itu.

Tambahnya, Pas tidak akan membiarkan tohmahan fitnah ini berlalu begitu sahaja tanpa dicabar dan dengan demikian, tiada pilihan lain melainkan mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi London, bagi membetulkan keadaan yang menjejaskan reputasinya di Malaysia, Singapura, England dan Wales.