Rentetan kejadian yang membabitkan Pas sejak kebelakangan ini membuatkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyeru kepada pemimpin, ahli dan penyokong parti itu supaya bermunajat.

Dalam satu status yang dimuat naik Presiden Pas itu di laman Facebooknya, Abdul Hadi berkata: "Melihat kepada serangan yang ditujukan kepada Pas dari segenap penjuru dan silih berganti, dengan ini saya menyeru kepada pimpinan, ahli dan penyokong Pas untuk bermunajat dan mengadu kepada Allah Yang Maha Kuasa."

Beliau juga mengajak agar menunaikan solat hajat, berpuasa, membaca Al-Quran dan melakukan amal kebajikan kepada semua pihak serta bertawassul memohon kepada Allah supaya memberi balasan sewajarnya di dunia dan akhirat.

"Kita beriman dan percaya kepada Sabda Nabi Muhammad SAW bahawa doa orang yang dizalimi tidak ada hijab dan dimaqbulkan oleh Allah SWT.

"Kita memohon pertolongan kepada Allah Yang Maha Kuasa Lagi Maha Tinggi mengatasi segala kerajaan di dunia ini," katanya.

Terdahulu, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa memiliki dokumen transaksi bank Pas yang membuat bayaran berjumlah RM1.4 juta kepada Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Menurut Anwar, dokumen yang dikaitkan dengan penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah Abdul Hadi berhubung dakwaan penerimaan RM90 juta daripada UMNO akan didedahkan jika parti itu terus mencabarnya.

Sementara itu, beberapa pemimpin Pas telah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan menerima dana RM90 juta menerusi saluran 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

BACA: Clare sahkan Hadi bayar RM1.4j secara rahsia selesai kes saman

BACA: Isu terima dana dari BN, SPRM siasat bekas pemimpin Pas