Tutup

Abdullah Badawi: Saya hidap Apnea tidur, Mahathir tahu mengenainya

Abdullah Badawi: Saya hidap Apnea tidur,  Mahathir tahu mengenainya
KUALA LUMPUR: “Saya kerap tertidur kerana menghidapi penyakit Apnea tidur atau Obstructive Sleep Apnea (OSA) dan Tun Dr. Mahathir Mohamad tahu mengenai perkara ini.”

Itu pengakuan mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam buku terbarunya yang bertajuk ‘Awakening, the Abdullah years in Malaysia’.
Abdullah, yang sering dikritik kerana dilihat tertidur di beberapa acara sebelum ini, berkata adalah tidak baik untuk Mahathir mengkritiknya, walaupun mantan perdana menteri itu sendiri mengetahui mengenai penyakit dihidapinya.

Apnea tidur adalah sejenis penyakit masalah gangguan tidur yang disebabkan oleh obstruksi saluran nafas.
“Saya telah memberitahu Mahathir tentang keadaan saya. Maka tidak baik sekiranya beliau berkata saya tertidur kerana saya tidak berminat dengan pekerjaan saya.

“Mahathir tahu mengenai masalah saya tapi beliau masih boleh berkata sedemikian,” kata Abdullah dalam satu petikan daripada buku itu yang disiarkan oleh portal Malaysiakini semalam.

Abdullah berkata beliau hanya sedar bahawa dirinya menghidapi Apnea tidur apabila arwah isterinya Datin Seri Endon Mahmood serta rakan-rakan sekerjanya menegur mengenai perkara itu.

“Arwah isteri saya dan rakan-rakan saya memberitahu saya bahawa saya sering tertidur.

“Selepas itu, saya berjumpa dengan kawan baik saya, Dr Balvinder dari Hospital Putrajaya yang memberi cadangan untuk membuat satu kajian tidur ke atas saya.

“Doktor mengingatkan saya agar mengambil perkara ini dengan serius. Saya kemudian membuat keputusan pergi ke Australia (pada tahun 2007) untuk membuat pembedahan mengeluarkan polip (ketumbuhan) dari dalam hidung saya,” katanya dalam buku tersebut.

Buku 'Awakening, the Abdullah years in Malaysia' dijangka akan berada di pasaran pada hujung bulan ini.

Abdullah menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kelima selepas mengambil alih jawatan itu daripada Mahathir pada tahun 2004.

Beliau memegang jawatan itu sehingga tahun 2009.