'Abu Chin Peng telah ditabur di Lumut, banjaran Titiwangsa' - Laporan

'Abu Chin Peng telah ditabur di Lumut, banjaran Titiwangsa' - Laporan
Berdasarkan laporan media Thailand, Chin Peng meninggal dunia di usia 90 tahun iaitu pada 16 September 2013 di sebuah hospital di Bangkok akibat sakit tua. - Gambar fail
SHAH ALAM: Selepas enam tahun berada di “perantauan”, abu mayat mendiang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dilaporkan sudah kembali ke Perak pada 16 September lalu.

Sebelum ini, Chin Peng meninggal dunia pada usia 90 tahun di sebuah hospital di Bangkok akibat sakit tua.

Menurut penyelaras kumpulan yang menguruskan kepulangan abu mayat berkenaan, Chan Kan Fook, 81, abu mayat Chin Peng dibawa pulang dari Thailand ke Malaysia dua bulan lalu dan sebahagiannya ditabur ke laut berhampiran Lumut.

“Sebahagian abu mayat Chin Peng ditaburkan di laut berhampiran Lumut, Perak serta sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat,” katanya memetik laporan portal Malaysiakini, pada Selasa.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dilahirkan di Sitiawan, Perak pada 1924 dan tinggal dalam buangan di Thailand sejak Perjanjian Damai Hat Yai 1989.

BACA: Rundingan Damai Baling: 'Chin Peng langsung tak usik makanan'

Chin Peng pernah diburu pihak berkuasa Malaysia susulan pemberontakan PKM yang menyebabkan ramai rakyat negara ini terbunuh.

Beliau juga pernah memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia bagi dirinya sendiri dan PKM, menuntut kerugian serta menghalang kerajaan Malaysia atau ejen-ejen daripada mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah mengenai mereka.

Namun, selepas kematian Chin Peng, bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kerajaan sama sekali tidak akan membenarkan abu mayat Setiausaha Agung PKM itu dibawa balik ke negara ini.



Tag: meninggal dunia, Chin Peng, mayat, abu mayat Chin Peng, Thailand, Media, Bangkok, Ipoh, abu chin peng



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.