Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan memutuskan untuk menangguh semua acara besar yang melibatkan kehadiran lebih daripada 250 orang termasuk Rainforest World Music Festival (RWMF) 2020 demi kepentingan kesihatan orang awam di negeri ini.

Menterinya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata keputusan itu berikutan garis panduan baharu yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berhubung semua acara perhimpunan kerajaan dan awam yang melibatkan lebih daripada 250 peserta akan ditunda ke tarikh akan datang ekoran tiga kes positif COVID-19 yang direkodkan di Kuching hari ini.

"Semalam saya mengeluarkan kenyataan kepada rakan-rakan media berkaitan RWMF yang akan diteruskan tetapi pada pagi hari ini JPBN mengeluarkan garis panduan baharu dan saya pasti anda semua sudah membacanya yang mana semua acara perhimpunan kerajaan dan awam yang melibatkan orang awam lebih daripada 250 peserta akan ditunda.

"Kementerian saya mempunyai beberapa acara yang akan diadakan bulan depan dan berdasarkan garis panduan baharu yang dikeluarkan JPBN ini kita terpaksa menunda semua acara ini termasuk RWMF sehingga arahan selanjutnya dikeluarkan," katanya pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Baitul Makmur, Petra Jaya di sini hari ini.

Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan menjelaskan kesemua acara itu ditunda sehingga situasi pulih.

Tegas beliau, meskipun terpaksa mengambil keputusan yang sukar itu, kepentingan kesihatan orang awam di Sarawak menjadi keutamaan ketika berdepan dengan situasi pandemik virus COVID-19.

Mengulas lanjut acara yang ditunda itu, beliau menjelaskan, bagi acara perniagaaan (persidangan) sahaja lebih 30 acara dijadualkan diadakan di negeri ini pada tahun ini.

"Ini belum lagi acara pelancongan dan sukan termasuk RWMF yang juga terpaksa ditunda," tambahnya.
Katanya lagi, walaupun keputusan menunda semua acara akan menjejaskan pemain industri yang berkaitan namun kepentingan kesihatan orang awam menjadi keutamaan.

"Kita berharap keadaan wabak COVID-19 ini reda dalam tempoh sebulan dua ini agar semua acara yang telah dirancang dapat kita teruskan," ujarnya.