Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Ada keputusan tidak direkod dalam minit mesyuarat 1MDB demi melindungi Najib - Shahrol Azral

Ada keputusan tidak direkod dalam minit mesyuarat 1MDB demi melindungi Najib - Shahrol Azral
Shahrol berkata itu adalah antara sebab mengapa keputusan menukar firma audit Ernst & Young (EY) kepada KPMG tidak diminitkan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi ada beberapa keputusan beliau tidak direkodkan dalam minit mesyuarat demi melindungi pemegang taruh terbesar iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketika menjawab soalan Ketua Peguam Bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, beliau berkata, itu adalah antara sebab mengapa keputusan menukar firma audit Ernst & Young (EY) kepada KPMG tidak diminitkan.
Sebaliknya apa yang direkodkan dalam minit mesyuarat hanyalah perbincangan lembaga pengarah yang menyalahkan EY kerana melengah-lengahkan proses penilaian aset syarikat usaha sama (JV) PetroSaudi International (PSI) dan 1MDB.

“Kami memang berbincang (mengenai penukaran itu), tetapi ia tidak diminitkan. Sepanjang tempoh perkhidmatan saya dalam 1MDB dari 2009 hingga 2013, saya dan ahli lembaga pengarah lain beranggapan kami perlu berhati-hati dalam meletakkan keputusan dalam minit mesyuarat.
“Ia sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya ada perkara berkenaan digunakan ke atas pemegang taruh utama kami iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya lagi di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, hari ini.

Selepas tujuh bulan tertangguh, perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion dari 1MDB melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersambung semula hari ini di depan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.

Perbicaraan itu, sepatutnya bersambung semula semalam (18 Mei), namun ditunda ke hari ini memandangkan semalam merupakan hari pertama persidangan Dewan Rakyat untuk tahun ini.

Ketika disoal mengapa beliau beranggapan usaha sama PSI dan 1MDB adalah kerjasama antara kerajaan dengan kerajaan (G2G), sedangkan PSI enggan memberi butiran diperlukan EY, Shahrol Azral menjawab, ia berdasarkan hubungan erat antara Najib dan pemerintah Arab Saudi ketika itu iaitu Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud.

“Asal usul kerjasama ini adalah hal peribadi, antara Najib dan Raja Abdullah. Itu apa yang dimaklumkan kepada saya. Saya tiada sebarang alasan untuk meragui bahawa ini adalah hubungan G2G,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Shahrol Azral, yang merupakan saksi pendakwaan ke-sembilan memaklumkan, pengurusan 1MDB menggantikan Ernst & Young dengan KPMG pada 2010 kerana tidak yakin dengan metodologi firma itu untuk membuat penilaian aset JV PSI.

Beliau berkata, EY tidak dapat membuat penilaian aset selagi tidak mendapat beberapa dokumen yang diperlukan dari PSI.

Shahrol Ibrahim menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat memandangkan KPMG tidak memerlukan dokumen berkenaan, sebaliknya cukup dengan nota murabahah yang disediakan.

Muhammad Shafee: Saya cadangkan kepada anda, selain mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang timbul pada tahun 2010, anda sebagai CEO mengambil jalan mudah dengan menukar firma audit.

Shahrol Azral: Tidak bersetuju.

Muhammad Shafee: Jadi firma baharu ini (KPMG), mereka menandatangani penilaian itu. Bagaimana? Mereka juga tidak mendapat dokumen yang diperlukan seperti EY.

Shahrol Azral: Benar.

Muhammad Shafee: Adakah kerana mereka menukar asas berlainan. Daripada mengenal pasti pelaburan itu sebagai ekuiti, mereka mengatakan ia adalah nota murabahah?

Shahrol Azral: Ya.

Najib, yang juga bekas Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung esok
.


Tag: Muhammad Shafee Abdullah, Najib Razak, shahrol azral ibrahim halmi, 1mdb, psi, petrosaudi international, Perdana Menteri, Barisan Nasional, raja abdullah, perbicaraan, penyelewengan, mahkamah tinggi, collin lawrence sequerah



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.