Polis Diraja Malaysia (PDRM) membantah menganjuran "Better Beer Festival 2017" kerana wujud rancangan militan untuk melakukan sabotaj ke atas festival berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamed Fuzi Harun berkata rancangan itu dibuat kerana mereka menganggapnya sebagai sesuatu yang bertentangan dengan perjuangan mereka.

"Maklumat risikan juga mendedahkan bahawa wujud beberapa pihak yang merancang untuk menimbulkan kekacauan semasa festival tersebut berlangsung dan ini bakal menimbulkan satu situasi keselamatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, bagi mengelakkan sebarang insiden di luar kawalan berlaku, PDRM bertindak proaktif dengan mendirikan bantahan terhadap penganjuran festival tersebut demi menjaga ketenteraman awam dan keselamatan masyarakat.
'Better Beer Festival 2017' dijangka diadakan pada 6 dan 7 Oktober ini di Publika di sini dibatalkan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas alasan 'sensitiviti politik'.

Bagaimanapun, penganjurnya MyBeer (M) Sdn Bhd dalam kenyataan berkata tahap keselamatan yang diperuntukkan pihaknya mencukupi dan bersedia bertemu DBKL untuk membincangkan pembatalan acara tersebut.