Tutup

Ada tiga sebab 25 imam di Perlis ditamatkan jawatan

Ada tiga sebab 25 imam di Perlis ditamatkan jawatan
MOHD ASRI: Kita tak boleh orang yang terlalu fanatik macam tu. - Gambar fail
KANGAR: Selain faktor umur, masalah disiplin dan kecenderungan berpolitik di masjid menjadi antara alasan kepada penamatan jawatan 25 imam masjid di Perlis, yang berkuatkuasa 1 Januari lalu.
 
Mufti negeri, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin dalam kuliah mingguan di Masjid Alwi, pada malam Khamis menjelaskan, penamatan jawatan mereka juga bagi memberi laluan kepada golongan muda menggalas tanggungjawab itu.

Pada masa yang sama, langkah itu adalah untuk membuat ‘pembersihan’ pengurusan masjid, daripada hal yang berkait politik.
"Saya kalau boleh tak nak ulas isu politik dalam semangat ukhwah untuk menyatukan semua orang Islam.

"Mereka kata Perlis telah berpecah-belah, tidak. Macam saya kata, Perlis tidak pernah buat dua imam. Perlis tidak pernah kata kena bercerai bini sebab parti lain. Tapi ada imam, yang orang (membuat aduan) ke pejabat, memberitahu, ada orang pergi rumah dia (imam) tapi dihalau (hanya kerana) parti politik berbeza dengan dia.
"Kita tak boleh orang yang terlalu fanatik macam tu," jelas Mohd Asri.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, kebanyakan imam yang diberhentikan adalah mereka yang sudah berusia lebih 61 tahun.

Malah menurutnya, ada yang masih menjawat jawatan itu pada usia 88 tahun.

Mohd Asri turut menyangkal khabar angin, kononnya mereka ditamatkan tugas kerana tidak sehaluan, termasuk cakap-cakap yang mengatakan isu itu berkait soal bacaan doa qunut, selawat, zikir dan bacaan bismillah dalam nada kuat.
 
Mengakhiri kuliahnya, Mohd Asri meminta semua pihak agar berfikir yang baik-baik dan berhenti daripada terus memanjangkan hal berkenaan.

Dalam menjadikan Perlis sebagai negeri maju, penggantian imam berusia kepada yang lebih muda dilihat sebagai permulaan yang baik.

Pada Khamis, media melaporkan seramai 25 orang imam qariah di Perlis diberhentikan, manakala 10 lagi ditukarkan ke khariah lain tanpa alasan melalui satu surat berkuatkuasa pada Selasa.

Surat berkenaan dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPS) pada tarikh 31 Disember 2018.

Bagaimanapun sehingga kini, Pengarah JAIPS, Hazman Hassan belum memberikan sebarang maklum balas.


Tag: mufti perlis, mohd asri zainul abidin, imam, pecat imam, masalah disiplin, usia, imam muda, JAIPS



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.