Perhimpunan 'Kita Lawan' di Sogo berakhir dengan penangkapan Aktivis Anak Muda Adam Adli dan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Fariz Musa petang tadi.

Difahamkan kedua-dua mereka dibawa ke ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jinjang dan ditahan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Di IPD Daerah Dang Wangi pula, polis turut cuba menahan Ketua AMK Nik Nazmi Nik Ahmad namun beliau berjaya melepaskan diri ketika itu.

Terdahulu, satu perhimpunan pro-Datuk Seri Anwar Ibrahim diadakan di Sogo sebagai tanda solidariti untuk pembebasan Ketua Pembangkang itu.

Antara yang memberikan ucapan adalah anak Anwar Ibrahim iaitu Nurul Nuha.

“Saya sekeluarga rasa terharu kepada Anak Muda yang bangkit untuk teruskan perjuangan hak rakyat Malaysia. This is our time (Ini adalah masa kita).

“Pesan ayah… jangan putus asa. Kuatkan semangat dan tabahkan hati. Jangan menyerah kalah,” katanya kepada lebih kurang 100 orang yang hadir pada perhimpunan itu.

Beliau juga menyeru orang ramai untuk sekali lagi berhimpun pada 7 Mac, iaitu perhimpunan kemuncak bagi kempen ‘Kita Lawan.’

Adam Adli turut berucap dan menyeru anak-anak muda untuk tidak takut dalam perjuangan mereka.

“Kita bukan sahaja mahu bebaskan Anwar tetapi ia untuk satu Malaysia agar semua rakyat bebas,” katanya.