Aktivis Anak Muda Adam Adli dan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Fariz Musa yang ditahan semalam sewaktu menghadiri perhimpunan ‘Kita Lawan’ di hadapan Pusat Membeli-belah Sogo di ibu negara, telah dibebaskan hari ini.

Peguam Adam, New Sin Yew, memberitahu Astro AWANI bahawa mereka dibebaskan dari ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jinjang pada kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

Sin Yew berkata mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis dimana kedua-dua mereka perlu hadir ke balai polis apabila diminta.

Apabila ditanya apakah kemungkinan kes ini diheret dan didakwa di mahkamah, Sin Yew berkata tiada asas untuk mendakwa mereka.

"Ini kerana semasa perhimpunan semalam, mereka ditahan di bawah Seksyen 142 dan143 Kanun Keseksaan dimana ia memerlukan penggunaan kekerasan jenayah untuk didakwa.

"Semalam, tiada perkara seperti itu berlaku. Mereka hanya menggunakan hak perlembagaan mereka untuk bebas berhimpun," katanya kepada Astro AWANI.

Gambar-gambar pembebasan mereka juga banyak dikongsikan di laman media sosial.





Semalam, satu perhimpunan pro-Datuk Seri Anwar Ibrahim diadakan di Sogo sebagai tanda solidariti untuk pembebasan Ketua Pembangkang itu.

Antara yang memberikan ucapan adalah anak Anwar Ibrahim iaitu Nurul Nuha.

“Saya sekeluarga rasa terharu kepada Anak Muda yang bangkit untuk teruskan perjuangan hak rakyat Malaysia. This is our time (Ini adalah masa kita).

“Pesan ayah… jangan putus asa. Kuatkan semangat dan tabahkan hati. Jangan menyerah kalah,” katanya kepada lebih kurang 100 orang yang hadir pada perhimpunan itu.

Beliau juga menyeru orang ramai untuk sekali lagi berhimpun pada 7 Mac, iaitu perhimpunan kemuncak bagi kempen ‘Kita Lawan.’

Adam Adli turut berucap dan menyeru anak-anak muda untuk tidak takut dalam perjuangan mereka.

“Kita bukan sahaja mahu bebaskan Anwar tetapi ia untuk satu Malaysia agar semua rakyat bebas,” katanya.