Proses penjagaan dan rawatan Muhammad Adib Mohd Kassim perlu dilakukan dengan lebih rapi bagi mengelakkan jangkitan kuman sepanjang proses pemulihan itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata ia termasuk mengurangkan jumlah pelawat.

“Muhammad Adib mesti dijaga dengan baik sebab dia di dalam keadaan yang sangat lemah. Saya pun biasa jadi doktor dulu, memang kena jaga (dari segi jangkitan kuman).

“Kita tak boleh ada terlalu ramai pelawat kerana kita semua ini pembawa kuman. Dia (Adib) tidak boleh lawan (jangkitan) pada masa ini,” katanya pada sidang media selepas melawat anggota bomba tersebut di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, hari ini.

Katanya, proses rawatan intensif masih perlu dilalui Muhammad Adib walaupun beliau telah menunjukkan tindak balas positif terhadap rawatan yang diberi.

Beliau pada sama merakamkan terima kasih kepada pasukan perubatan IJN yang bertungkus lumus membantu pasukan penyelamat tersebut yang parah susulan kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada awal pagi Selasa.