"ADIK kakok, adik kakok, pangkoh HARAPAN deh."

Ungkapan "adik, kakok" lazimnya di Kelantan digunakan penjual ketika mengumpan pelanggan.

Daripada pemerhatian penulis, ungkapan ini bolehlah diandaikan sebagai "Tuan-tuan dan puan-puan, hadirin sekalian" jika ditutur secara formal.

Tetapi ketika musim kempen politik, bahasa rasmi dalam kamus Bahasa Melayu tidak laku diguna pakai. Ahli politik sebaliknya mencipta formula sendiri untuk menarik perhatian pengundi.

Nik Omar Nik Ab Aziz, calon Pakatan Harapan di DUN Chempaka tidak terkecuali.


Ungkapan "adik kakok" jadi kebiasaan, hingga ada kalanya mengundang lucu dan diguna dalam modal saya dan rakan sepejabat Azyyati Ahmad atau Geegee ketika bersembang di ruangan komen Instagram.

"Adik kakok" favourite word Nik Omar - kata Geegee. Setiap kali ada gambar berkaitan Nik Omar, dia pasti meninggalkan komen 'adik kakok'.

Apabila rakan saya Geegee itu membangkitkan perkara berkenaan, barulah saya memantau dan perhatikan semua ucapan-ucapan Nik Omar.

"Adik kakok" (merujuk kepada hadirin), digunakan setiap kali.

"Adik kakok" menggantikan tuan-puan, hadirin sekalian dalam ucapannya.

"Adik kakok" diungkap Nik Omar setiap kali mengajak hadirin mengundi HARAPAN.

"Adik kakok" dan juga "ambo" untuk kata ganti diri ketiga.

Lebih sopan dan santun ikut penduduk tempatan, seolah-olah bersembang dengan keluarga rapat.

Santunnya Nik Omar itu umum diketahui media yang membuat liputan tentang beliau.

Sejak jadi perhatian kerana bertanding di DUN Chempaka, Nik Omar masih pegang pendirian enggan terlibat dalam sebarang provokasi.

Segala reaksi atas apa jua kenyataan dibuat terhadap beliau tidak dibalas pedas, atau cerca, walaupun ada pihak ambil pendekatan menyerang peribadi, melibatkan hal-hal keluarga.

"Kito tidok kecek hal keluarga di sini," ujar Nik Omar dalam ucapan di satu majlis, selepas insiden ketegangan melibatkan larangan keluarganya terhadap hasrat Tun Dr Mahathir Mohamad menziarah pusara Allahyarham bapanya, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Media yang menanti mahu mendapatkan reaksi beliau susulan insiden itu, akur apbil beliau enggan mengulas lanjut perihal itu.

Seperti juga dikongsi dalam ucapan itu, Nik Omar beritahu sudah dimaklumkan apa risiko yang bakal dihadapi beliau, andainya terlibat dalam politik.

Sahabat rapat Nik Omar berpesan kepada beliau, sedialah untuk menerima segala jenis hinaan, kata kesat, dan cercaan.

Cuma yang tidak dijangka Nik Omar, adalah segala jenis hinaan, kata kesat malah cercaan itu juga datang sama ada dari darah daging sendiri, atau insan-insan yang pernah menyanjung bapanya, Nik Abdul Aziz.

Moga Nik Omar peduli untuk kekal santun dan ikhlas memberi senyuman, sepanjang berpolitik selepas ini.


*Marlina Manaf ialah wartawan Astro AWANI.

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.