PENYANYI terkenal, Adira Suhaimi memfailkan perceraian terhadap suaminya, Datuk Seri Adnan Abu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang pada Rabu.

Portal berita Harian Metro melaporkan, Adira memfailkan permohonan itu pada 1 April lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Adira atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi, 28, yang disoal Hakim Syarie, Mohd Faizal Habib mengenai pendiriannya menegaskan, dia tetap mahu berpisah daripada suaminya.

Adnan pula atau lebih mesra disapa Datuk Red pula membantah permohonan isterinya itu ketika disoal Mohd Faizal.

Pasangan berkenaan tiba pada waktu berasingan di mahkamah.

Menurut portal Harian Metro, Datuk Red tiba lebih awal iaitu sekitar 2.50 petang bersama dua rakannya sementara Adira dilihat bersendirian pada pukul 3.05 petang.

Hakim Mohd Faizal Habib menetapkan 17 Disember ini sebagai tarikh sebutan hakam kes perceraian itu.

Adira turut diwakili peguam syarie Siti Nur Zafirah Mohd Padzil.

Berita keretakan rumah tangga pasangan berkenaan kedengaran sejak kebelakangan ini, namun dinafikan oleh kedua-duanya.

Adira dan Adnan bernikah di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015.

Pernikahan itu menjadikan Adira sebagai isteri kedua Adnan.

Hasil perkahwinan itu, pasangan berkenaan dikurniakan tiga cahaya mata termasuk seorang anak perempuan yang berusia dua bulan.