Tutup

Aduan libatkan anggota polis paling banyak diterima EAIC - Liew Vui Keong

Aduan libatkan anggota polis paling banyak diterima EAIC - Liew Vui Keong
Beliau berkata Dewan Rakyat yang bersidang pada 7 Oktober lalu bersetuju sebulat suara untuk menghantar Rang Undang-undang IPCMC ke Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang bagi tujuan penambahbaikan. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebanyak 75 peratus aduan yang diterima Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) adalah melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak ia ditubuhkan pada 2004 sehingga sekarang.

"Manakala baki aduan adalah melibatkan 20 agensi penguatkuasaan lain," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong dalam jawapan bertulis yang dipaparkan dalam laman web Parlimen pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang mahu tahu rasional Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) menetapkan bahawa EAIC dibubarkan apabila suruhanjaya itu ditubuhkan.

EAIC dilaporkan ditubuhkan pada Februari 2004 susulan kebimbangan orang awam terhadap peningkatan kes kematian mangsa dalam tahanan, dakwaan kekejaman polis serta salah guna kuasa.
Liew berkata walaupun skop EAIC dilihat lebih meluas dalam memantau lebih banyak agensi penguatkuasaan, kuasa EAIC adalah terbatas memandangkan ia hanya boleh membuat syor kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) agensi penguatkuasaan berkenaan.

Katanya IPCMC dikhususkan hanya kepada anggota PDRM kerana ia telah diperuntukkan dengan satu bidang kuasa baharu iaitu kuasa kawalan tatatertib selaras dengan proviso kepada Perkara 140 (1) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan suatu badan lain selain daripada Suruhanjaya Pasukan Polis untuk menjalankan kuasa kawalan tatatertib ke atas pasukan polis.

Beliau berkata Dewan Rakyat yang bersidang pada 7 Oktober lalu bersetuju sebulat suara untuk menghantar Rang Undang-undang IPCMC ke Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang bagi tujuan penambahbaikan.

Kerajaan juga akan menjalankan beberapa siri libat urus bersama pihak berkepentingan, pemegang taruh dan media untuk mendapatkan pandangan dan penambahbaikan. katanya.

-- BERNAMA