Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Mohd Zawawi Hassan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas terjatuh di bilik air di rumahnya di Kampung Tebuk Panchur, di sini pagi Selasa.

Mohd Zawawi tidak sedarkan diri itu kira-kira pukul 10 pagi sebelum dikejarkan ke Hospital Taiping.

ADUN Selinsing, Husin Din berkata, perkara itu disedari isterinya, ketika secara kebetulan pulang sebentar ke rumah dari tempat kerja di Madrasah Ehya As-Sharif, Gunung Semanggol.

"Sebaik sahaja menyedari keadaan Mohd Zawawi, isterinya segera membawa beliau ke Hospital Taiping sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainon, Ipoh sekitar pukul 3 petang tadi.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati beliau disyaki mengalami pendarahan di kepala. Buat masa ini, beliau ditempatkan di hospital berkenaan dan kita sama-sama mendoakan agar keadaan beliau beransur pulih ," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada petang Selasa.

Menurutnya, kejadian itu dipercayai berpunca daripada masalah darah tinggi yang dihidapi Mohd Zawawi.