Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng, Datuk Ishak Ismail, meninggal dunia pada Selasa malam akibat serangan jantung.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 11:25 malam dipercayai selepas menghadiri Majlis Hari Raya anjuran Adun Sri Menanti, Datuk Abd Samad Ibrahim.

Jenazah Allahyarham, 66 tahun, difahamkan akan dibawa ke rumah kakak beliau di Taman Rashidah Utama, Seremban.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui laman Twitternya sebentar tadi.


Sementara itu Setiausaha UMNO Negeri Sembilan Datuk Hasim Rusdi berkata Ishak dilaporkan pengsan ketika menghadiri rumah terbuka Aidilfitri ADUN Seri Menanti Datuk Abdul Samad Ibrahim di Seri Menanti sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah untuk rawatan lanjut.

"Jenazah sekarang sedang jalani bedah siasat dan akan dibawa balik ke rumahnya di Taman Rashidah Utama, Seremban dan dijangka dikebumikan selepas solat Zohor," katanya kepada Bernama.

Ishak yang berasal dari Kampong Pantai, Seremban, baru menyambut ulang tahun ke-66 pada Isnin lepas, Beliau meninggalkan isteri Datin Norimah Ujang dan empat orang anak.

Ishak merupakan ADUN Lenggeng selama empat penggal sejak pilihan raya umum 1995.