Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari meminta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) agar menggunakan fakta ketika berhujah dan berbahas di dalam dewan.

Beliau berkata tindakan segelintir ADUN yang berhujah tanpa fakta akan memberi kesan buruk (negatif) kepada dewan dan negeri ini.

"Contohnya, kenyataan ADUN Sungai Udang (Datuk Seri Idris Haron) bahawa isu itu (isu babi hutan) telah menimbulkan kemarahan bagi negara Indonesia adalah tidak berasas dan tidak mempunyai fakta ataupun bukti," kata kepada pemberita di luar dewan.

Beliau berkata perkara itu tidak wujud dan ianya adalah fitnah semata-mata kerana Kerajaan Negeri Melaka mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Indonesia.

Katanya, pihak Kerajaan Negeri telah melakukan penyiasatan, penyelidikan dan pengesahan terhadap perkara itu dan bertanggung jawab dengan tindakan yang diambil.

"Apabila kita (Kerajaan Negeri) difitnah... kesannya terpaksa ditanggung oleh rakyat... sesuatu perkara itu boleh dikatakan sebagai fitnah jika tiada fakta dan ianya disebarkan," katanya.

Adly berkata, semua pihak sepatutnya perlu menghargai usaha yang telah dilakukan oleh Jabatan Perhilitan Melaka yang bekerja keras bagi memastikan aspek keselamatan terhadap petani dipertingkatkan bagi menjamin hasil kepada petani (daripada ancaman babi hutan).

Terdahulu ketua pembangkang, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) mencelah ketika Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Omar Jaafar membuat penjelasan mengenai kenyataannya semalam berhubung ADUN Tangga Batu, Datuk Norhizam Baktee sebagai 'Juara Tembak Babi'.

Omar berkata beliau tidak bermaksub untuk menghina Norhizam tetapi maksud juara itu merujuk kepada wira iaitu seorang yang hebat dalam menjalankan tugasnya.

Omar turut menjelaskan bahawa tiada unsur 'protest' daripada kerajaan Indonesia berhubung isu babi hutan datang ke Melaka.

Idris mendakwa bahawa beliau diberitahu oleh pihak Pertubuhan World Wide Fund for Nature (WWF) bahawa exco Kerajaan Negeri (Norhizam) bertindak memburu babi tanpa mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak terlebih dahulu dan mendakwa bahawa ianya adalah satu kezaliman kepada binatang.

-- BERNAMA