Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari, dikenakan kompaun RM1,000 kerana dipercayai melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika sambutan Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya telah menerima arahan daripada pejabat timbalan pendakwa raya supaya mengenakan kompaun itu.

"Kita telah dapat arahan untuk keluarkan kompaun dan kita akan hubungi beliau untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk diserahkan kompaun.

"Kompaun hanya dikenakan terhadap penganjur rumah terbuka tersebut," katanya pada sidang media di IPD Shah Alam pada Jumaat.

Terdahulu, foto sambutan Aidilfitri di kediaman Abdul Rashid tular di media sosial kerana didakwa melebihi had tetamu yang ditetapkan.

Sementara itu, Abdul Rashid menerusi satu kenyataan, memaklumkan jemputan itu melibatkan penyokongnya sahaja dan tidak menyangka foto itu tular di media sosial.