ADUN Semenyih meninggal dunia

ADUN Semenyih meninggal dunia
Bakhtiar meninggal dunia pada pukul 4.45 pagi di Hospital Kajang, 11 Jan, 2019.
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan (ADUN) Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor, 57 tahun, meninggal dunia pada pukul 4.45 pagi ini di Hospital Kajang, dipercayai akibat serangan jantung.

Perkara ini dimaklumkan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah, dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke rumah keluarganya di Batu 19, Jalan Sungai Lalang, Kolam Memancing Teratak Tekala, Semenyih.
Jenazah akan disembahyangkan sejurus selepas solat Jumaat di Masjid Kampung Pasir, Semenyih dan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Pasir.


Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas, Bakhtiar, mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menang kerusi Semenyih dengan majoriti 8,964 undi mengalahkan Datuk Johan Abd Aziz (Barisan Nasional), Mad Shahmidur Mat Kosim (Pas) dan S. Arutchelvan (PSM).

Allahyarham yang juga Ketua Bahagian Bersatu Hulu Langat memperoleh 23,428 undi.