Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid mengesahkan membuat laporan polis berhubung nota ugutan yang diterimanya semalam.

Bercakap dalam sidang media di pejabatnya pada Rabu, Syerleena berkata laporan polis itu dibuat berhubung poster fitnah yang dilemparkan terhadap beliau yang kini tersebar di media sosial.

Menurut Syerleena, nota ugutan tertulis "maut menanti kamu" ditemui dalam peti surat di pusat khidmat beliau di Jalan Delima, Georgetown, kira-kira jam 3.30 petang semalam.

Bimbang dengan keselamatan dirinya, beliau hadir membuat laporan di Balai Polis Jelutong bagi membolehkan siasatan dilakukan segera.

"Kelmarin masa saya buat laporan, polis tanya nota ini apa motif. Saya pun tak tau apa motif tapi berkemungkinan bersangkut paut dengan fitnah ini. Saya harap pihak berkuasa dapat ambil tindakan segeralah," kata Syerleena.

Menurut beliau, poster fitnah itu pernah tersebar di laman sosial Facebook pada 8 Mac dan 28 Ogos tahun lalu sebelum ia kembali tular ketika pilihan raya umum lepas.

Bagaimanapun, ia sekali lagi menjadi tular di laman sosial tersebut sejak minggu lalu seolah-olah menggambarkan beliau sebagai seorang yang anti islam.

"Fitnah ini kononnya saya bersumpah akan serang institusi Islam khususnya Jakim. Gila ka? Ini perbuatan gila.

"Ugutan maut ini kalau melalui komen-komen Facebook memang ada, melalui FB Messenger juga ada. Tapi ini merupakan kali pertama mereka hantar melalui nota ke pusat khidmat," kata Syerleena.

Syerleena turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap beberapa akaun Facebook yang telah menyebarkan poster palsu tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar mengesahkan menerima laporan.

Katanya, polis menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Menurut Anuar, siasatan sedang dijalankan bagi mengetahui motif sebenar kejadian serta mengenal pasti individu yang terlibat.