Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Muhammad Faiz Fadzil menyangkal kenyataan Naib Presiden parti itu , Hasanuddin Mohd Yunus yang menyifatkan pemasangan kamera AES dan saman jalan raya oleh kerajaan terdahulu menepati prinsip maqasid syariah.

Tegas Faiz yang juga Timbalan Pengerusi Sekretariat Protes AES (ProtAES), pelaksaan AES tidak menepati prinsip maqasid syariah jika pelaksanaannya menekan hidup rakyat dan meningkatkan kadar keperitan hidup rakyat.

"Maqasid syariah bukan sahaja berpremiskan elemen nyawa tetapi juga harta," katanya.

"Pelaksanaan AES ini mempunyai kesan ke atas kos sara hidup. Rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi dan kerajaan pula sedang berusaha keras mengurangkannya, namun pelaksanaan AES ini bertentangan dengan perkara ini," jelas Faiz yang juga ADUN Permatang Pasir.

Katanya secara alternatif kepada saman atau kompaun, pemandu yang melakukan kesalahan pertama boleh diberikan amaran dan beliau cadangkan kerajaan boleh mewajibkan pemandu yang mempunyai kesalahan berulang untuk menghadiri kelas pendidikan keselamatan pemanduan atau dikenakan kompaun.

Ini berbanding apa hukuman yang diamalkan kerajaan ketika ini, iaitu mengenakan kompaun tanpa diskaun, serta pemotongan mata demerit di bawah sistem Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) sebagai hukuman kedua bagi kesalahan yang sama.

BACA: Takkan nak simpan kamera AES dalam setor? - Hasanuddin

"Pelaksanaan dua kali hukuman bagi satu kesalahan yang sama melanggar prinsip ‘double jeopardy’ iaitu mengenakan dua hukuman bagi satu kesalahan.

"Hukuman ini pasti membebankan pengguna jalan raya yang bergantung kepada penggunaan kenderaan sendiri dan kesan kehilangan pendapatan bagi pemandu kenderaan awam termasuk pemandu teksi, bas dan lori," katanya.

Beliau juga mempertikaikan keberkesanan AES dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya kerana tiada data yang menyokong dakwaan berkenaan.