Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berlepas hari ini ke Jepun untuk lawatan kerja tiga hari di sana dilapor mempunyai jadual kerja yang padat.

Antaranya beliau akan mengadakan mesyuarat bersama pengerusi dan presiden Nikkei Incorporated serta ketua pengarang Nikkei Asian Review.

Selain itu, beliau juga akan menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia ke-24 dengan topik “Keeping Asia Open – How to Achieve Prosperity and Stability” diikuti sesi dialog.

Pada Selasa, beliau akan berucap dalam satu sesi dialog dan bakal bertemu dengan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe sebelum mengadakan sidang media bersama.

Tun Dr Mahathir turut akan menerima beberapa kunjungan hormat sepanjang lawatan beliau.