Kemajuan teknologi seharusnya membolehkan agensi kerajaan untuk bergerak lebih pantas dalam merancang dan memberikan perkhidmatan mereka dengan lebih efisien dan berkesan, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ismail Bakar.

Beliau berharap dalam tempoh terdekat agensi kerajaan tidak hanya memberikan perkhidmatan pada tahap yang sama, tetapi sebaliknya berubah dan memberikan perkhidmatan kepada masyarakat secara antipasif dan khusus.

"Sebagai seorang pengamal, saya bersetuju dengan pandangan bahawa perubahan teknologi menawarkan peluang untuk kerajaan secara radikalnya mengkaji semula fungsi terasnya.

"Sesungguhnya saya ingin melihat kemunculan sebuah kerajaan Malaysia yang proaktif dan responsif," katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Kali Keempat 'Public Sector CIO Convex' (PSCC) 2019 di sini pada Selasa.

Teks ucapannya dibacakan Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Datuk Dr Mazlan Yusoff.

Sambil menjadikan kejadian bencana dan jerubu sebagai contoh, Ismail berkata agensi kerajaan berkaitan seharusnya dapat memberikan perkhidmatan yang diperlukan, kepada masyarakat dalam kawasan yang terlibat scara berterusan tanpa menyebabkan gangguan kepada perkhidmatan asas kerajaan.

Katanya dengan kaitan yang jelas antara teknologi digital dan kemakmuran negara, adalah penting untuk kerajaan mengambil kesempatan atas kemunculan landskap teknologi digital, untuk memperluaskan rangkaian penyampaian perkhidmatannya.

PSCC 2019 merupakan perhimpunan tahunan Ketua Pegawai Maklumat (CIO) agensi kerajaan, rakan strategik daripada industri serta pakar tempatan dan juga antarabangsa bagi membincangkan secara bersama teknologi, inisiatif dan pelbagai cara bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.

Dengan Tema 'Gaining the Edge: Navigating the Future', ianya dihadiri kira-kira 1,300 peserta termasuk 21 penyampai antarabangsa daripada sembilan negara dan 16 penyampai tempatan.

Terdahulu, MAMPU melancarkan satu penerbitan eksklusif bertajuk "Buku Panduan Kejuruteraan Sistem Aplikasi Sektor Awam (KRISA)" yang menyediakan panduan menyeluruh serta huraian dan amalan terperinci dalam bidang pembangunan sistem dalam kalangan penjawat awam.

-- BERNAMA