Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan supaya agihan kutipan zakat di negeri ini hanya untuk lapan golongan asnaf dalam kalangan umat Islam.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Sharafuddin menitahkan bahawa lapan golongan tersebut termasuklah asnaf fakir, miskin dan golongan muallaf (saudara baharu).

Dalam satu kenyataan beliau berkata Sultan Sharafuddin telah mendapat nasihat daripada Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid bahawa agihan zakat kepada golongan bukan Islam hanya dibolehkan sekiranya ia menjadi penyebab individu berkenaan memeluk agama Islam di bawah asnaf Mu'allati Qulubuhum.

Beliau berkata Sultan Selangor menitahkan demikian susulan laporan akhbar serta yang tular di media sosial mengenai kenyataan dua mufti dan seorang ahli politik yang menyentuh mengenai agihan kutipan wang zakat kepada golongan bukan Islam di negara ini.

Mohamad Munir berkata Sultan Sharafuddin turut meminta supaya isu berkaitan pengagihan zakat tidak lagi diperdebatkan secara terbuka di media massa.

Malah baginda berharap tiada pihak yang mengambil kesempatan dengan menggunakan isu-isu berkaitan dengan agama Islam untuk meraih populariti atau mengambil hati mana-mana pihak tertentu.

Baginda juga mengingatkan bahawa fungsi zakat dan cukai pendapatan adalah berbeza dan rakyat di harap dapat memahami dengan jelas tujuan setiap agensi itu ditubuhkan.

Menurut Mohamad Munir, bagi negeri Selangor, disebabkan majoriti rakyatnya beragama Islam dan jumlah penduduk Islam bertambah setiap tahun, masih ramai orang Islam miskin di luar bandar dan juga miskin bandar yang perlu dibantu menggunakan hasil kutipan wang zakat.

"Seperti yang kita sedia maklum, tanggungjawab membayar zakat adalah merupakan salah satu daripada Rukun Islam yang wajib dipatuhi oleh setiap umat Islam.

"Walaupun agama Islam adalah agama yang menekankan sifat-sifat perikemanusiaan, tetapi agihan zakat diperoleh daripada umat Islam hendaklah diberi kepada lapan golongan asnaf dalam kalangan umat Islam terutama yang miskin dan memerlukan bantuan terlebih dahulu.

"Bagi orang-orang miskin bukan beragama Islam, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu mereka menerusi jabatan-jabatan dan agensi yang telah ditetapkan," katanya.

-- BERNAMA