Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berada dalam keadaan sihat selepas selesai menjalani proses kuarantin selama 14 hari di Istana Negara pada Khamis.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat di atas doa dan keprihatinan terhadap baginda berdua.

Tambah beliau, Al Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong turut menjalani beberapa proses saringan dan pengesanan jangkitan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) sepanjang tempoh kuarantin.

“Sejumlah 116 kakitangan Istana Negara turut diarahkan oleh KKM menjalani saringan dan kuarantin diri selama 14 hari, yang juga berakhir hari ini,” demikian katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Al Sutan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong disahkan negatif COVID-19 dan menjalani proses kuarantin selepas tujuh kakitangan Istana Negara disahkan positif COVID-19.

Kesemua petugas Istana Negara menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Mengulas lanjut, Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah sekali lagi menyeru rakyat negara ini agar mematuhi arahan pihak berkuasa termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan perasaan amat sedih kerana masih ada rakyat Malaysia yang ingkar PKP di atas kepentingan diri sendiri.

“Ini menyebabkan peningkatan kes COVID-19 dan pertambahan kawasan zon merah.

“Marilah kita bersama-sama memainkan peranan membantu meratakan lengkungan jangkitan COVID-19 ini dengan terus berada di rumah.

"Jika perlu keluar untuk membeli barang keperluan, pakailah penutup hidung dan mulut serta amalkan penjarakan sosial,” kata beliau memetik titah Al Sultan Abdullah.